Saturday, December 6, 2008

Adab Menuntut Ilmu


Menuntut ilmu adalah satu tuntutan bagi kita sebagai muslim. Terdapat banyak dalil yang menunjukkan keutamaan ilmu, para penuntut ilmu dan yang mengajarkannya. Kita harus mengetahui adab-adab dalam menuntut ilmu supaya ilmu yang kita pelajari berfaedah bagi kita dan orang yang ada di sekeliling kita. Adab-adab tersebut di antaranya adalah:

1. Ikhlas kerana Allah SWT.

Hendaknya niat kita dalam menuntut ilmu adalah kerana Allah SWT dan untuk akhirat. Apabila seseorang menuntut ilmu hanya untuk mendapatkan gelar agar senang untuk mendapat kedudukan yang tinggi atau ingin menjadi orang yang terkenal atau niat yang seumpama dengannya, maka Rasulullah saw telah memberi peringatan tentang hal ini dalam sabdanya :

"Barangsiapa yang menuntut ilmu yang pelajari hanya kerana Allah sedang ia tidak menuntutnya kecuali untuk mendapatkan mata-benda dunia, ia tidak akan mendapatkan bau surga pada hari Qiamat".( HR: Ahmad, Abu,Daud dan Ibnu Majah

Tetapi kalau ada orang yang mengatakan bahawa saya ingin mendapatkan sijil (MA atau Doktor, misalnya ) bukan kerana ingin mendapatkan dunia, tetapi kerana sudah menjadi peraturan yang tidak tertulis jika seseorang yang memiliki pendidikan yang lebih tinggi, segala ucapannya menjadi lebih didengari orang dalam menyampaikan ilmu atau dalam mengajar. Niat ini - insya Allah - termasuk niat yang benar.

2. Untuk menghilangkan kebodohan dari dirinya dan orang lain.

Semua manusia pada mulanya adalah bodoh. Kita berniat untuk menghilangkan kebodohan dari diri kita, setelah kita menjadi orang yang memiliki ilmu kita harus mengajarkannya kepada orang lain untuk menghilang kebodohan dari diri mereka, dan tentu saja mengajarkan kepada orang lain itu dengan berbagai cara agar orang lain dapat mengambil faidah dari ilmu kita.

Apakah syarat untuk memberi mamfaat pada orang lain itu kita duduk dimasjid dan mengadakan satu pengajian ataukah kita memberi manfa'at pada orang lain dengan ilmu itu pada setiap saat? Jawaban yang benar adalah yang kedua; karena Rasulullah saw bersabda :

"Sampaikanlah dariku walupun cuma satu ayat (HR: Bukhari)

Imam Ahmad berkata: Ilmu itu tidak ada bandingannya apabila niatnya benar. Para muridnya bertanya: Bagaimanakah yang demikian itu? Beliau menjawab: ia berniat menghilangkan kebodohan dari dirinya dan dari orang lain.

3. Berniat dalam menuntut ilmu untuk membela syari'at.

Sudah menjadi keharusan bagi para penuntut ilmu berniat dalam menuntut ilmu untuk membela syari'at. Kerana kedudukan syari'at sama dengan pedang kalau tidak ada seseorang yang menggunakannya ia tidak ada ertinya. Penuntut ilmu harus membela agamanya dari hal-hal yang menyimpang dari agama (bid'ah), sebagaimana tuntunan yang diajar Rasulullah saw. Hal ini tidak ada yang mampu untuk melakukannya kecuali orang yang memiliki ilmu yang benar, sesuai dengan petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah.

4. Lapang dada dalam menerima perbezaan pendapat.

Apabila ada perbezaan pendapat, hendaknya penuntut ilmu menerima perbezaan itu dengan lapang dada selama mana perbezaan itu pada persoalaan ijtihad, bukan persoalaan aqidah, kerana persoalaan aqidah adalah masalah yang tidak ada perbezaan pendapat di kalangan salaf. Berbeza dalam masalah ijtihad, telah ada sejak zaman sahabat, bahkan pada masa Rasulullah saw masih hidup lagi. Kerana itu jangan sampai kita menghina atau mengejek orang lain yang kebetulan berbeza pandapat dengan kita.

5. Mengamalkan ilmu yang telah dapat.

Termasuk adab yang tepenting bagi para penuntut ilmu adalah mengamalkan ilmu yang telah diperolehi, kerana amal adalah buah dari ilmu, baik aqidah, ibadah, akhlak mahupun muamalah. Kerana orang yang telah memiliki ilmu adalah seperti orang memiliki senjata. Ilmu atau senjata (pedang) tidak akan ada gunanya kecuali diamalkan (digunakan).

6. Menghormati para ulama dan memuliakan mereka.

Penuntut ilmu harus selalu lapang dada dalam menerima perbezaan pendapat yang terjadi di kalangan ulama. Jangan sampai ia mengumpat atau mencela ulama yang kebetulan keliru di dalam memutuskan suatu masalah. Mengumpat orang biasa saja sudah termasuk dosa besar apatah lagi kalau orang itu adalah seorang ulama.

7. Mencari kebenaran dan sabar

Termasuk adab yang paling penting bagi kita sebagai seorang penuntut ilmu adalah mencari kebenaran dari ilmu yang telah diperolehi. Mencari kebenaran dari berita berita yang sampai kepada kita. Ketika sampai kepada kita sebuah hadis misalnya, kita harus meneliti terlebih dahulu tentang kesahihan hadis tersebut. sekiranyanya kita menemui bukti bahawa hadis itu adalah sahih, kita berusaha lagi mencari makna (pengertian ) dari hadis tersebut. Dalam mencari kebenaran ini kita harus sabar, jangan tergesa-gasa, jangan cepat merasa bosan atau keluh kesah. Jangan sampai kita mempelajari satu pelajaran separuh jalan sahaja, belajar satu kitab sebentar kemudian mengganti dengan kitab yang lain. Sekiranya kita lakukan seperti itu, kita tidak akan mendapat apa –apa dari apa yang kita pelajari.

Di samping itu, mencari kebenaran dalam ilmu sangat penting kerana sesungguhnya pembawa berita kadang-kadang mempunyai maksud yang tidak benar, atau barangkali dia tidak bermaksud jahat namun dia keliru dalam memahami sebuah dalil.

Wallahu 'Alam.

No comments: