Wednesday, March 21, 2012

Keputusan SPM MMPG 2012 sekali lagi catat sejarah!!


Bismillahirrahmanirrahim..

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar..
Segala pujian dipanjatkan ke hadrat Ilahi, kerana hanya kepada-Nya selayaknya kesyukuran ini. Hari ini, keputusan SPM bagi pelajar yang telah mengambil peperiksaan SPM tahun lepas telah dikeluarkan.





Alhamdulillah, MMPG telah mencatat sejarah baru keputusan SPM iaitu purata sekolah 3.79.
Seorang 10 A, dua orang 9 A, dua orang 7A, dua orang 6A, lima orang 5A, lima orang 4A, sembilan orang 3A, enam orang 2A dan lima orang 1A.

10 A- SYAFIQ SAIDIN
9A - MUHD IRFAN M.ZIN & MUHD NAJMI ROHAIZAD
7A- NURUL ATIKAH A.KHODER & HAFIZAH CHE FADZIL.

Lagi sekali tahniah diucapkan, kepada yang tidak mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, percayalah kejayaan anda bukan terhenti setakat ini sahaja. Teruskan melangkah sebagai hamba Allah yang sentiasa bertawakal kepada-Nya dan umat nabi yang sentiasa mengikut sunnahnya.






Sekian.

Thursday, March 1, 2012

Jangan Mencemuh, Merendahkan dan Memberi Gelaran Buruk



Hujrat [11] : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain….

Janganlah kita mencemuh orang lain yang berada dalam keadaan apa sekalipun; sifat fizikalnya, sikapnya perangainya, rezekinya, kedudukannya, jawatannya, ilmunya (kepandaian atau kebodohannya) dan sebagainya, kerana kita tidak mengetahui kedudukan atau maqam seseorang itu disisi Allah.

Sesungguhnya kita sememangnya tidak mengetahui bagaimana rupa dan keadaan orang yang disayangi Allah Subhanahuwata’ala. Bahkan Nabi Musa a.s. sendiri juga tidak mengetahui kedudukan binatang disisi Allah s.w.t. Dalam satu riwayat, diceritakan bahawa Nabi Musa a.s. diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk membawa seekor binatang yang hodoh bersamanya ke Bukit Thur. Dalam perjalanan Baginda telah bertemu dengan seekor anjing kurap dan berhasrat untuk membawanya bersama ke Bukit Thur. Lalu anjing itu menyalak dengan salakan yang kuat. Allah s.w.t memberi Nabi Musa kefahaman tentang salakan anjing itu. Salakan itu seolah-olah mengatakan bahawa “aku mungkin hodoh di sisi kamu tetapi tidak di sisi Allah“. Maka Nabi Musa pun tidak jadi membawa anjing kurap itu bersamanya.

Anjing juga mempunyai kedudukan di sisi Allah s.w.t. Dalam sebuah kisah yang lain diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. pula, menceritakan bahawa ada seekor anjing yang menggigit sahabat yang memaki Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar r.a.:

Kami (sahabat Nabi) sedang bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w., tiba-tiba datang seorang sahabat yang mana kedua belah betisnya luka dan berdarah, melihat keadaan tersebut, Rasulullah s.a.w. lalu bertanya beliau, kenapa betis kamu itu?

Jawabnya, saya (ketika hendak datang ke sini) melalui dekat dengan seekor anjing, lalu ia mengigit saya. Kemudian tak lama datang seorang sahabat lagi yang telah digigit oleh seekor anjing, setelah mendengar apa yang diceritakan oleh sahabat tersebut, lalu Rasulullah s.a.w. bangkit dari tempatnya, sambil bersabda kepada sahabatnya bersegeralah kamu dapatkan anjing tersebut sehingga ia dapat dibunuh, maka bangunlah semua sahabat (yang ada di situ) dan mereka membawa pedang masing-masing.

Apabila sampai ke tempat anjing tersebut dan mereka pun mula hendak membunuhnya, tiba-tiba anjing tersebut dapat berkata dengan bahasa yang fasih dan terang, katanya, jangan bunuh saya, saya beriman kepada Allah S.W.T. dan Rasulnya, Rasulullah s.a.w. bertanya, kenapa kamu mengigit kedua-dua lelaki ini?

Jawabnya, wahai Rasullullah s.a.w. saya ni anjing yang telah diperintah mengigit sesiapa yang memaki Abu Bakar dan Umar r.a., Selepas itu Rasulullah bersabda kepada kedua-dua orang tadi, adakah kamu telah mendengar apa yang dikatakan oleh anjing tadi? Maka jawab mereka berdua, kami telah bertaubat kepada Allah S.W.T. dan Rasulnya. Kedua-dua orang sahabat tersebut sebenarnya adalah orang munafik, dengan peristiwa tersebut, mereka telah bertaubat, tidak memaki kedua sahabat tersebut lagi…

Hujrat [11]….dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Larangan ini adalah kepada sesiapa yang bertujuan menghina orang lain dengan memanggilnya dengan gelaran yang buruk. Walaubagaimanapun ulama berpendapat ianya boleh dikecualikan sekiranya sesuatu gelaran itu adalah bertujuan untuk memudahkan seseorang itu mengenali orang lain, misalnya sekiranya ditanya “Mat yang mana satu”, maka untuk tujuan pengenalan, bolehlah kita mengatakan “Mat yang rendah itu” atau “Mat yang botak kepalanya”. Kita dilarang memberi gelaran buruk dan menyakitkan hati orang Islam yang lain kerana orang Islam adalah suci samada dari segi luaran dan dalamannya (akidahnya).

Wallahualam..