Thursday, August 4, 2011

La khauf! Pena disebalik palang besi

Melalui blog bintul rizq..


Seandainya Adolf Hitler tidak dipenjarakan pada tahun 1924, mungkin tidak akan ada Nazi yang menakluk Eropah dan membunuh jutaan orang Yahudi. Ketika di penjara setelah gagal melakukan gelombang reformasi yang dipimpinnya, Hitler menulis karya besarnya, Mein Kampf, yang akhirnya menjadi buku panduan untuk Jerman menjadi kuasa terbesar Perang Dunia Kedua.

Memang, karya-karya besar dalam sejarah peradaban manusia lahir dari gerakan fikiran dan jiwa penulisnya.

Dari situlah lahir gagasan besar yang menggoncang sejarah.

James W. Pennebaker, seorang psikologis, dalam bukunya Opening Up: The Healing Power of Expressing Emotions (1990), mengatakan ketika manusia berdepan dengan cabaran getir dan pahit, mereka akan menjadi lebih kreatif dan melahirkan sesuatu yang luar biasa dari fikiran dan jiwa mereka. Apatah lagi jika cabaran getir itu diharunginya ketika berada di penjara, tentulah segala tumpuan konsentrasi berkumpul dan bergejolak dalam dirinya.

Mungkin saja fizikal mereka terseksa namun jiwa dan minda mereka terus hidup dan menerangi orang lain!

Itulah yang kita rasakan apabila membaca karya-karya Pradmoedya Ananta Toer yang cukup menyentuh hati dengan mengangkat tema martabat kemanusiaan, kemerdekaan dan keadilan.

Sebahagian besar karya Pradmoedya dihasilkan di dalam penjara. Karya-karya besarnya, Nyanyi Sunyi Seorang Bisu, Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca ditulisnya ketika di penjara Pulau Buru.

Memang ramai pemikir Indonesia yang menulis semasa berada di penjara.

Mohammad Hatta ketika di penjara Glodok tahun 1934. Hatta sempat menulis beberapa penulisan penting. Di penjara Glodoklah Muhammad Hatta menghasilkan buku masyhur komentarnya mengenai Krisis Ekonomi dan Kapitalisme.

Pada awalnya Hatta ragu sama ada buku tersebut dapat disempurnakan kerana ada peraturan yang tidak membenarkan kertas dibawa masuk ke dalam penjara. Namun, ternyata buku itu dapat diterbitkan pada tahun 1934. Hatta kemudiannya semakin aktif menulis ketika dia dibuang ke Digul. Di situlah Hatta menulis karya yang cukup sinonim dengannya iaitu Alam Fikiran Yunani.

Begitu juga dengan Tan Malaka, dalam biografinya, Tan Malaka: Dari Penjara ke Penjara. Tan menceritakan kesukarannya menulis karya besarnya, Madilog yang ditulis secara sembunyi-sembunyi yang akhirnya mengakibatkannya kurang rujukan ke perpustakaan.

Pemikir dan pemimpin gerakan Islam tersohor, As-syahid Sayyid Qutb pernah mengatakan, berada di penjara sebenarnya adalah ‘masa rehat’ untuk kita menulis ‘sesuatu yang besar’. Di penjara Mesirlah, Sayyid Qutb menulis karya tafsirnya yang cukup berpengaruh, Tafsir Fi Zhilalil Quran yang disebut oleh pengkritik buku sebagai kerja-kerja kesusasteraan dari penjara yang paling istimewa yang pernah dihasilkan.

Sayyid Qutb menyelesaikannya sebelum dihukum gantung oleh mantan Presiden Mesir, Gamal Abdul Nasser pada tahun 1966. Kitab tafsir ini ditulis dengan kekuatan daya hafalan penulisnya. Situasi buruk dan penyeksaan dalam penjara tidak menghalang Sayyid Qutb untuk menulis!

Di Iraq, pemikir besar Syiah, Ayatullah Muhammad Baqir Sadr juga melalui pengalaman yang sama dengan Sayyid Qutb di mana dia dipenjarakan oleh regim pemerintahan Saddam ketika itu, sehinggalah dibunuh dengan kejam di penjara. Di sinilah Baqir Sadr menulis empat jilid buku ekonomi bertajuk Iqtisadunna yang membahas secara mendalam persoalan-persoalan ekonomi moden dan bagaimana sistem ekonomi Islam mampu memberikan jawapan dalam konteks ekonomi kapitalis. Baqir Sadr meninggal dunia dalam usia muda iaitu 42 tahun.

Di Amerika Syarikat (AS) pula, seorang wartawan Afro-Amerika, Mumia Abu Jamal dihukum mati pada tahun 1982 kerana tuduhan membunuh seorang anggota polis. Bertahun-tahun dia berada di penjara, walaupun kemudian bukti-bukti menunjukkan dia bersalah tidak pun ditemui. Mumia kemudiannya menjadi lambang gerakan anti perkauman di AS.

Selama di penjara Pennsylvania, Mumia menghasilkan sekumpulan tulisan yang akhirnya dibukukan dalam dua buah buku, Live From Death Row dan All Things Censored. Tulisan-tulisannya dianggap setaraf dengan tulisan Marthin Luther King Jr. yang menulis sewaktu di penjara bertajuk Letters From Birmingham Jail.

Manakala bagi pembaca buku-buku psikologi, tentu sekali akan mengingati Viktor Frankl, seorang berbangsa Yahudi yang diseksa di dalam penjara maut di zaman pemerintahan Nazi. Frankl terselamat dari penjara maut dengan berpura-pura mati dan dia berteori bahawa sesungguhnya seseorang dapat memutuskan bagaimana suatu keadaan akan mempengaruhi dirinya. Kita tidak semestinya pasrah pada keadaan. Bukunya, Man’s Search for Meaning berdasarkan pengalaman di penjara dianggap antara sumbangan penting kepada ilmu psikologi.

Penjara memang sebuah tempat yang cukup menyeksakan tetapi juga sebuah tempat kondusif bagi seorang penulis. Kerana di dalam penjara, manusia akan terpaksa berani menyendiri, berada dalam kesepian dan keterasingan, dan hal-hal sebegini yang harus terjadi dalam proses menulis.

Menulis adalah suatu perlakuan seni yang merangkum fikiran dan jiwa, bahkan suatu pertapaan. Untuk itu, kesepian harus dialami bukan hanya secara rohani tetapi juga secara ‘badani’ (fizikal). Orang yang tidak berani ‘menyepi’ tidak mungkin menjadi penulis yang baik. Bak kata seorang penulis, Barbara Turchman bahawa, “menulis adalah profesion yang bersendirian”!

Ayuh! Teruskan menulis dengan pena….