Tuesday, February 24, 2009
Islam Agama yang Memudahkan Umatnya
Rasullullah S.A.W. juga bersabda bagi memperjelaskan lagi perkara ini, melalui hadisnya yang telah diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi yang bermaksud : "Sesungguhnya Islam itu mudah
Secara umum, perkataan mudah dan payah agak subjektif. Neraca pertimbangan yang paling tepat digunakan ialah samada perkara itu satu bebanan yang tidak berupaya manusia melakukan atau faktor persekitaran menyebabkan lingkungan keupayaannya terbatas.
Menurut prinsip Islam, semua perintah, tanggungjawab dan bebanan adalah dibuat dan dilaksanakan mengikut keupayaan manusia. Allah tidak membebankan hambaNya melainkan dalam lingkungan kemampuan manusia. Ini ditegaskan oleh Allah S.W.T. dalam surah Al-Baqarah; ayat 280 yang bermaksud : "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakan, dan juga menanggung dosa kejahatan apa yang diusahakannya."
Contoh yang ketara yang boleh dibuat perumpamaan adalah perintah ibadat Solat. Permulaan memulakan solat adalah mengambil wudhuk dan bahan asas yang diperlukan adalah air. Dalam sesuatu keadaan jika ketiadaan air, Islam memberi kelonggaran dengan melakukan tayammum.
Perkara kedua adalah menutup aurat. Pakaian yang sediada boleh digunakan kecuali ada najis padannya. Garis panduan pakaian ditetapkan untuk lelaki ialah menutup antara pusat hingga ke lutut. Manakala bagi wanita pula adalah menutup keseluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Dalam perkara ini, jika hanya ada tudung labuh dan memakai stoking ketika itu juga sudah membolehkan untuk kita mengerjakan solat.
Oleh kerana solat adalah merupakan ibadat yang tidak boleh ditinggalkan, maka Islam memberi kelonggaran dalam beberapa situasi dan keadaan tertentu.
Jika kita musafir (dalam perjalanan dengan tujuan yang baik dan diluluskan hukum syarak), dan perjalanan itu melebihi 2 marhalah (lebih 91 KM), maka bolehlah kita menjamak dan mengqasarkan solat kita.
Begitu juga apabila kita sedang sakit, kita boleh mengerjakan solat secara duduk, berbaring, mengiring atau pun menggunakan isyarat. Hatta dalam beberapa kaedah, kita boleh membaca Allahu Akbar sebanyak 7 kali (menyamai 7 ayat Fatihah) atau 7 ayat Surah sebagai ganti Surah Al-Fatihah yang merupakan rukun dalam solat, jika masih tidak dapat membaca Surah Al-Fatihah setelah diusahakan dengan bersungguh-sungguh.
Daripada contoh-contoh yang diberikan di atas, ternyatalah, Islam itu mudah. Ia akan menjadi sukar jika kita terlalu ekstrim dalam mengamalkannya. Penekanan bersederhana penting dalam ibadah di samping meletakkan prinsip istiqamah sebagai teras. Keterlaluan dalam ibadah tanpa mempunyai sandaran dan nas yang kukuh atau hanya sekadar ikut-ikutan akan menyebabkan ia membelenggu kita yang akhirnya menyebabkan kita terus meninggalkan ibadah tersebut.
Solat dalam Islam tidak membebankan manusia, malah ia merupakan suatu amalan yang digemari kerana selain dari menjadi ibadah menyembah Tuhan, ia juga akan;
i. Melatih daya pemusatan pemikiran
ii. Meningkatkan rasa keikhlasan terhadap Allah
iii. Melatih diri ke arah ketepatan waktu
iv. Membiasakan diri mengamalkan kebersihan
v. Memberi kerehatan saraf
vi. Menyatakan pengakuan terhadap kebesaran Allah S.W.T.
vii. Menanamkan rasa muhibbah dan semangat perpaduan menerusi solat yang dilakukan secara berjemaah
Begitu juga aspek makanan dan minuman. Istilah darurat boleh digunakan terhadap sesuatu tindakan apabila tiada alternatif lain boleh dicari bagi meneruskan hidup. Kita boleh makan daging khinzir; sebagai contoh, sekiranya pada ketika itu, hanya itu sahaja makanan yang ada untuk menyambung nyawa bagi meneruskan kehidupan.
Demi menggambarkan bahawa Islam itu mudah dan tidak membebankan, kita selusuri sejarah pengharaman arak yang dibuat secara berperingkat-peringkat. Melihat kepada tahap keimanan Umat Islam ketika itu, ayat yang mengharamkan ialah ketika bersolat kerana ditakuti bacaan mereka di bawah sedar ini tersalah. Peringkat seterusnya pula, ia diharamkan terus kepada Umat Islam kerana memabukkan yang lebih membawa keburukan daripada kebaikan.
Setiap insan yang mengamalkan perintah Allah S.W.T. dengan yakin dan sempurna akan dapat merasai nikmat kegunaan dan faedah daripada perintah-perintah itu serta merasa bahagia
Saturday, January 31, 2009
Kecemerlangan Adalah Ketaatan Kepada Allah
Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, guru yang paling baik dan penunjuk kebenaran kepada jalan ilmu.
Kecemerlangan dalam pelajaran mempunyai kepentingan yang amat besar dalam kehidupan muslimin. Bukankah para ulama Islam telah memberikan cahaya kepada alam ini melalui ilmu-ilmu mereka yang cemerlang seperti Ibnu Sina, al-Khawarizmi, Ibnu al-Nafis dan lain-lain. Oleh itu, setiap orang daripada kita hendaklah bertanya dirinya: Kenapa aku perlu cemerlang? Dia juga hendaklah bertanya, kenapa aku tidak cemerlang?
Bagi menjawab soalan ini, kita mendengar banyak jawapan yang dikemukakan oleh orang. Tetapi seorang muslim mempunyai jawapannya yang tersendiri kerana dia memiliki objektif yang mulia:
1. Saya mahu cemerlang kerana Allah: Ya! Saya mahu cemerlang kerana Allah, kerana Allah swt berfirman dalam surah al-An‘am ayat 162 yang bermaksud: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” Maka seseorang muslim mengetahui bahawa seluruh kehidupannya adalah kerana Allah. Antara kehidupannya ialah pelajaran, ilmu dan kecemerlangannya.
2. Saya mahu cemerlang kerana keluarga dan kedua ibu bapa saya: Antara cara saya berbuat baik kepada kedua ibu bapa saya ialah dengan menggembirakan mereka. Alangkah besarnya kegembiraan dan kebahagiaan mereka jika saya cemerlang dan berjaya mendapat markah paling tinggi.
3. Saya mahu cemerlang kerana diri saya sendiri: Setiap muslim mempunyai matlamat dalam kehidupannya. Jika dia mempunyai matlamat dan cita-cita yang tinggi, maka matlamat dan cita-citanya itu tidak akan tercapai melainkan dengan kecemerlangan.
4. Saya mahu cemerlang kerana ingin mengembalikan keagungan Islam: Mengembalikan keagungan Islam? Ya! Kerana ingin mengembalikan keagungan Islam. Keagungan Islam dahulu adalah melalui ilmu dan para ulama. Keagungan ini tidak akan datang kembali melainkan melalui para ulama yang benar, beriman dan ikhlas kerana Islam dan umat Islam, ulama dan ilmuan dalam pelbagai bidang yang bermanfaat.
Beberapa Pesanan Sebelum Mengulangkaji Pelajaran
Wahai sahabat-sahabat yang dikasihi! Marilah sama-sama kita lakukan sebagai persiapan untuk menghadapi peperiksaan:
1. Mengerjakan sembahyang hajat dua rakaat sebelum mengulangkaji agar Allah memberikan pertolonganNya kepada kita.
2. Membaca al-Quran sebelum memulakan ulangkaji, kerana ia akan menjauhkan syaitan daripada kita dan wajah kita akan dipenuhi dengan cahaya al-Quran.
3. Mulakan dengan berdoa.
4. Buatlah perancangan terlebih dahulu, seperti menentukan apakah subjek-subjek yang akan diulangkaji, tajuk-tajuk dan masa bagi setiap subjek dengan membuat jadual yang lengkap.
5. Mulakan dengan subjek-subjek yang mudah terlebih dahulu, kemudian barulah berpindah kepada subjek-subjek yang sukar.
6. Jangan tangguhlah kerja hari ini kepada esok hari. Hendaklah sentiasa mengulangkaji subjek yang pelajari pada hari yang sama.
7. Peruntukkan waktu yang mencukupi untuk berehat. Tetapkan satu hari setiap minggu bagi berehat dan berhibur.
8. Pilihkan tempat yang tenang dan jauh daripada sebarang gangguan serta ambil beratlah tentang masalah pencahayaan yang mencukupi, begitu juga dengan masalah kesihatan.
9. Cuba sedaya upaya untuk mengosongkan fikiran daripada sebarang permasalahan atau kesibukan sebelum mengulangkaji pelajaran.
10. Ambil beratlah tentang cara duduk yang betul iaitu belakang badan hendaklah lurus.
11. Segeralah pergi menunaikan sembahyang sebaik sahaja mendengar azan, kerana Allah swt tidak akan memberkati pekerjaan yang melalaikan daripada sembahyang.
12. Selangkan di antara satu subjek dengan subjek lain yang kita ulangkaji dengan satu kadar masa yang mencukupi untuk berehat.
Bagaimana Bersedia Menghadapi Peperiksaan
Dr ‘Ata Barakat berkata:
Agar bersedia untuk menghadapi peperiksaan, kit perlu melakukan dua perkara yang penting:
Pertama: Penguasaan yang baik
Ini berlaku melalui empat perkara berikut:
1.Terus mengulangkaji subjek yang dipelajari sepanjang tahun sebaik sahaja selepas mempelajarinya. Janganlah tangguhkan sedikitpun meskipun sedikit.
2. Ulangkaji pelajaran terdahulu sebelum memulakan pelajaran baru.
3. Melakukan ulangkaji mingguan dengan membaca semula secara pantas pelajaran-pelajaran yang sudah diulangkaji pada minggu tersebut.
4. Membuat ulangkaji pada masa cuti dan juga secara bulanan.
Kedua: Ulangkaji yang intensif sebelum peperiksaan
Ia juga boleh dilakukan melalui empat langkah berikut:
1. Menyusun segala maklumat di dalam fikiran kita dengan susunan yang baik dan sistematik.
2. Memilih waktu yang sesuai untuk mengulangkaji, iaitu setiap subjek mempunyai waktu yang khusus. Jika merasa jemu, boleh mula menyelesaikan soalan-soalan kira-kira (matematik).
3. Membuat jadual waktu yang baik dan tersusun agar setiap subjek mempunyai jangkamasa waktu yang sesuai dan tidak mengganggu waktu yang diperuntukkan untuk subjek yang lain.
4. Menjawab banyak soalan dan menyelesaikan banyak permasalahan terutamanya soalan-soalan yang sukar.
Doa untuk Mengulangkaji Pelajaran
- Doa memulakan ulangkaji
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ فَهْمَ النَّبِيِّيْنَ وَحِفْظَ الْمُرْسَلِيْنَ وَالْمَلاَئِكَةِ الْمُقَرَّبِيْنَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْ لِسَانِيْ عَامِرًا بِذِكْرِكَ وَقَلْبِيْ مَلِيْئًا بِخَشْيَتِكَ، إِنَّكَ عَلَى مَا تَشَاءُ قَدِيْرٌ.
Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon daripadaMu kefahaman para nabi, ingatan para rasul dan malaikat terhampir. Ya Allah! Jadikanlah lidahku basah dengan zikir kepadaMu, hatiku dipenuhi dengan takut kepadaMu. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala apa yang Engkau kehendaki.”
- Doa selepas mengulangkaji
اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَوْدِعُكَ مَا قَرَأْتُ وَمَا فَهِمْتُ وَمَا حَفِظْتُ فَرُدَّهُ إِلَيَّ عِنْدَ حَاجَتِيْ إِلَيْهِ، إِنَّكَ عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.
Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku menitip apa yang aku baca, faham dan hafal kepadaMu. Maka kembalikanlah ia kepadaku ketika aku memerlukannya. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala sesuatu.”
Doa Pada Hari Peperiksaan
Dicadangkan agar doa-doa berikut diucapkan pada hari peperiksaan, iaitu sebelum dan semasa peperiksaan berlangsung:
1. Ketika memasuki dewan peperiksaan:
وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا
Maksudnya: “Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”
2. Ketika menerima kertas soalan:
قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي. وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي. وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي. يَفْقَهُوا قَوْلِي.
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku tugasku. Dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku, supaya mereka faham perkataanku.”
3. Ketika sukar menjawab:
ياَ حَيُّ يَا قَيُّوْمُ، بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ.
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang maha hidup lagi maha berdiri dengan sendirinya. Dengan rahmatMu aku bermohon pertolongan.”
4. Atau:
اَللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزَنَ الصَّعْبَ إِنْ شِئْتَ سَهْلاً.
Maksudnya: “Ya Allah! Tidak ada kesenangan melainkan pada perkara yang engkau jadikan kesenangan padanya. Dan engkau menjadikan kedukacitaan dan kesukaran sebagai mudah dan senang jika Engkau kehendaki.”
5. Jika anda terlupa jawapan:
اَللَّهُمَّ يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمٍ لاَ رَيْبَ فِيْهِ اجْمَعْ عَلىَ ضَالَّتِيْ مَعْلُوْمَاتِيْ.
Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan yang menghimpunkan manusia pada hari yang tiada keraguan padanya. Himpunkan barangan dan maklumat yang hilang daripadaku.”