Showing posts with label HATI. Show all posts
Showing posts with label HATI. Show all posts

Sunday, October 9, 2011

HATI-HATI DENGAN HATI..




Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas RA: “ Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya. Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa. Ketiga, bangun ( beribadat ) di waktu malam. Keempat, menghampirkan diri kepada Allah ( beribadat ) disepertiga malam dan yang kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh ”.

Sesungguhnya manusia diciptakan oleh Allah dengan sebaik-baik penciptaan. Bermulanya dengan setitik air yang hina sehinggalah bergelar seorang insan bernama manusia. Diberikan pula berbagai-bagai nikmat yang tak ternilai banyaknya tanpa mengira siapa kita. Namun, kita sering lalai dan lupa untuk mensyukuri di atas anugerah yang dikurniakan, bahkan kita masih lagi berlumba-lumba mengejar kemewahan yang bersifat sementara itu.

Nikmat yang paling berharga dikurniakan kepada manusia ialah nikmat hati, yang merupakan raja segala gerak-geri dan tingkah-laku yang dipertontonkan oleh manusia. Hati yang diciptakan Allah semulia-mulia kejadian, di situlah akal manusia, di situlah buruk, baik, sihat, lemah manusia, di situlah segala-galanya.

Benarlah apa yang diucapkan oleh Rasulullah SAW: “ Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging, jika sekiranya baik daging itu, maka baiklah seluruh diri manusia itu. Jika sekiranya buruk daging itu, maka buruklah seluruh diri manusia itu. Ketahuilah, bahawa ia adalah hati ”.

Hatilah punca segala-galanya. Jika tidak berpunca dari hati yang kotor, manusia tidak akan melakukan maksiat terhadap penciptanya. Namun, kita sentiasa tidak menghiraukan gelagat hati kita. Kita sering biarkan hati kita dikotori titik-titik hitam dan dihinggapi berbagai-bagai penyakit yang menjijikan. Lantas, hasilnya segala gerak-geri yang dipertontonkan melencong dari jalan yang dikehendaki Allah SWT.“

Al-Quran yang diturunkan kepada kita melalui insan agung SAW merupakan mukjizat yang tidak ada tolak bandingnya, bahkan ia juga sebagai ubat bagi mengubati hati yang berpenyakit. Dengan kita melazimi membacanya dan mentadabbur apa yang terkandung di dalamnya, akan memperolehi ketenangan hati yang akan menyebabkan hati sentiasa tidak lalai mengingati Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “ketahuilah, dengan mengingati Allah itu, hati akan tenang”.



Begitu juga dengan mengosongkan perut dari terlalu kenyang akan mengubati segala penyakit yang tersemat dihati kerana dengannya hati akan beroleh kerehatan dan meringankan untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT serta menjauhkan dari segala penyakit yang memudaratkan. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Barangsiapa yang sedikit makannya, sihatlah perutnya dan bersihlah hatinya. Barangsiapa yang banyak makannya, maka sakitlah perutnya dan keraslah hatinya”.

Sabda Rasulullah SAW lagi: “ janganlah kamu matikan hati kamu dengan membanyakan makan dan minum, sesungguhnya hati itu seumpama tumbuh-tumbuhan, jika banyak disirami air maka ia akan mati ”.


Seterusnya, diantara ubat bagi mengubati hati ialah dengan sentiasa bagun malam beribadat kepada Allah SWT kerana dengannya akan menjauhkan diri kita dari tipu daya syaitan dan menjauhkan dari melakukan dosa serta mendapat keredhoan dari Allah SWT. Rasulullah SAW sentiasa mengingati ummatnya: “ hendaklah kamu bangun malam ( beribadat ) walaupun hanya mengerjakan satu rakaat sembahyang ”.

Oleh itu, bagi memastikan hati kita dalam keadaan sentiasa bersih dari segala penyakit, hendaklah kita melazimi dengan membanyakan beribadat kepada Allah disepertiga malam kerana waktu itulah Allah SWT turun ke langit dunia bagi melihat siapa diantara hambanya yang berjaga malam, beribadat kepadanya.

Begitu juga, hati akan terubat dari segala penyakit dengan sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh. Ini akan menyebabkan sedikit sebanyak akan terikut dengan tingkah laku, perbuatan dan percakapan mereka yang sentiasa mengingati Allah SWT.

Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda: “ Berkata Luqman Al-Hakim kepada anaknya, wahai anakku, sentiasalah kamu berada dalam majlis alim ulama ( orang-orang yang soleh ) dan dengarlah kata-kata hikmah dari mereka. Sesungguhnya Allah SWT akan menghidupkan hati yang mati dengan cahaya hikmah sebagaimana Allah menghidupkan bumi dengan siraman hujan yang lebat ”.

Berkata seorang hukama’ : “ Sesungguhnya Allah SWT mempunyai sebuah kebun di atas dunia ini, barangsiapa yang masuk ke dalamnya maka bahagialah hidupnya. Kemudian ditanya padanya: “apakah kebun itu?, lantas dijawab bahawa kebun itu adalah majlis-majlis ilmu ( mengingati Allah ).

Begitulah di antara penawar-penawar yang digariskan oleh ulama bagi mengubati hati-hati kita dari segala penyakit yang menyebabkan gerak geri yang dipertontonkan oleh kita melencong ke arah kemurkaan Allah SWT. Mudah - mudahan kita digolongkan dikalangan hamba-hambanya yang sentiasa dalam keadaan hati bersih dari segala penyakit-penyakit yang menyebabkan kita lalai mengingati Allah SWT.

Friday, October 7, 2011

Mengharap Ma’sum Dari Orang Yang Tidak Ma’sum?

Anda Pernah Dikutuk?

Anda pernah dikutuk dan dicaci?
Dikatakan jahil?
Dikatakan jahat?
Dikatakan memandai-mandai?

Tersenyumlah. Bukan anda seorang sahaja yang pernah diperlekehkan. Saya juga pernah. Para ulama’ juga pernah. Rasulullah SAW juga pernah. Err, Allah SWT juga pernah.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.” (Surah al-An’am: 108).

Tatkala dikutuk, anda rasa terhina, marah dan geram?
Tersenyumlah. Orang yang mengutuk diri kita yang tidak ma’sum ini mungkin ikhlas ingin membetulkan kesalahan kita. Namun, kita tidak perlu merendahkan akhlak diri kita dengan meniru balik caranya itu. Tahanlah diri dari mengutuk balik. Tahanlah diri dari mencaci-maki. Tahanlah diri dari menghina semula.

Bicaramu Menusuk Kalbu

Berkata Prof. Syeik Dr. Yusuf al-Qaradhawi, “Islam telah mengajar kepada saya untuk menyalakan pelita dan tidak dengan asyik mengutuk-ngutuk kegelapan, dengan menjelaskan kebenaran dan bukan dengan asyik mencaci-maki kebatilan.”

Damainya kata-kata ini. Beliau berkata lagi, “Manhaj saya sepanjang hayat, saya harus membangun dan bukan menghancurkan, dan menghimpun bukan mencerai beraikan. Akan saya biarkan setiap orang memilih sesuai pilihannya.”

Lebih menyejukkan hati, beliau berkata, “ Saya tidak akan pernah memaksa orang lain untuk melakukan apa yang menjadi pendapat dan ijtihad saya. Sebagaimana mereka juga jangan sampai menyuruh saya mengambil pendapat dan ijtihad mereka. Jika Allah telah memerintahkan Rasul-Nya untuk berkata kepada orang-orang kafir dengan firman-Nya, “Untuk kalian agama kalian. Untukku agamaku.” (Al-Kafirun: 6), maka mengapa tidak saya katakan kepada saudara-saudara saya kaum muslimin, “Bagi kalian ijtihad kalian dan bagi saya ijtihad saya. Bagi saya amal saya dan bagi kalian amal kalian.”

Di Mana Penunggang Kuda yang Tidak Pernah Jatuh?

Wahai anak-anak muda yang berkobar-kobar,
Dengan kecanggihan teknologi yang membolehkan perbincangan kita dibaca oleh seluruh dunia hanya dalam beberapa saat, pelbagai perkara buruk dan baik tersebar cepat. Berhati-hatilah dengan perdebatan tanpa hujung sehingga terheret kepada perbuatan mencela-cela orang lain, apatah lagi mencela ulama’.

Anda kecewa dengan kesalahan insan yang anda kagumi?
Sama-sama kita renungi kata-kata Syeikh Al-Qaradhawi ini, “Sesungguhnya orang-orang yang menjatuhkan nama-nama ulama besar kerana sebahagian kesalahan yang mereka lakukan bukanlah orang-orang yang bersikap adil dan tidak pula termasuk orang-orang yang tepat dalam mengambil sikap. Sebab mereka menuntut kema’suman dari orang yang tidak ma’sum (terpelihara dari kesalahan). Di mana ada penunggang kuda yang tidak pernah jatuh? Di mana ada pedang yang tidak pernah tumpul? Di mana ada bendera yang terus berkibar?”
Jika ada insan yang kita iktiraf sebagai ulama’ itupun menunjukkan contoh suka mencela, ambillah kebaikan daripada ilmunya, hormati dia, sayangi dia, doakan dia dan tinggalkan perbuatan suka mencela itu, jangan diambil sekali. Begitu juga sikap kita terhadap ibu bapa, guru, rakan dan sesiapapun jua. Jika sikap suka ‘meraikan’ ini diaplikasi, dada kita sentiasa lapang dan berbahagia.

Pesan Syeikh Dalam Mensikapi Golongan Muda

Berkata Syeikh Al-Qaradhawi , “Sesungguhnya kekerasan tidak harus dihadapi dengan kekerasan. Hendaknya kita memperlakukan anak-anak muda yang penuh semangat itu dengan semangat kebapaan yang menyejukkan.

Jauh dari kata-kata kasar dan keras.
Tidak banyak menyalahkan mereka.
Jangan menghina mereka.
Jangan pula kita berbicara dengan mereka dari menara-menara yang tinggi menjulang dengan perasaan membanggakan diri kepada mereka atau berlepas diri dari mereka sehingga hanya akan menimbulkan jurang lebar antara kita dan mereka. Sehingga mereka tidak menaruh kepercayaan kepada kita dan tidak mahu mendengarkan perkataan kita.”

Ayuh, Ciptakan Sejarah!

Kita mungkin pernah buat salah dalam tugasan yang diberikan oleh guru atau pensyarah.
Kita mungkin pernah buat salah dalam melaksanakan arahan ibu dan ayah.
Ketika baru bertatih di dunia kerjaya, mungkin kita banyak buat salah.
Dalam hidup ini, betul dan salah adalah lumrah. Kita tidak dapat lari daripadanya. Positif pada lumrah kehidupan ini akan menjadikan kita terus bersemangat untuk meneruskan langkah, biarpun kita pernah, sedang atau akan membuat salah.

Maka:
Jangan buat salah!
Jangan terlalu kecewa andai tersalah.
Jangan takut nanti salah.
Jangan ulangi perkara salah.
Jangan pula merasakan diri tidak pernah salah.
Jangan cepat mengutuk orang yang bersalah.
Jangan mencari-cari pada orang lain perbuatannya yang salah.

Syeikh al-Qaradhawi berpesan agar memenuhi kalbu kita dan anak-anak kita dengan iman, cita-cita dan tekad serta percaya sepenuhnya kepada Allah SWT dan kepada diri kita sendiri. Kita harus membebaskan dari dari mengharap adanya seorang pemimpin yang mendapat wahyu, seorang pemimpin yang tidak pernah salah. Sedangkan bersandar kepada kekuatan rakyat itulah yang akan melahirkan sejarah. Ayuh!!!

Thursday, May 5, 2011

HATI BERSIH, CERMINAN PERIBADI..(^_^)

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

SIFAT MAHMUDAH: Amalan membaca al-Quran perlu disemat dalam jiwa anak agar menjadi generasi beriman.

Taraf manusia bukan diukur daripada paras rupa, kekayaan, nasab keturunan

MANUSIA adalah makhluk ciptaan Allah terbaik dan paling sempurna kejadiannya berbanding makhluk lain yang menghuni alam ini. Dalam hal ini, Allah mengiktiraf kesempurnaan penciptaan manusia berdasarkan firman-Nya dalam surah al-Tin, ayat 4 bermaksud:

Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).

Manusia diciptakan daripada beberapa elemen utama hingga mewujudkan identitinya sebagai manusia iaitu jasad, akal, roh, nafsu dan hati. Namun, daripada semua elemen menghiasi seseorang manusia itu, ada satu unsur paling penting dalam ajaran Islam yang diambil kira daripada keseluruhan amalan keagamaan adalah intinya, bukannya kulitnya, bentuk dalamannya bukannya bentuk luarannya dan hatinya bukannya jasadnya atau lisannya.

Oleh itu, Rasulullah bersabda bermaksud:

Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang kepada hati kamu. Maka, sesiapa memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang tersebut. Ketahuilah! Wahai Anak Adam bahawa orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu. (Hadis riwayat Muslim dan Tabrani).

Hati manusia juga bertindak sebagai raja bagi keseluruhan anggota tubuh badan yang lain. Dengan kata lain, baik dan buruk, sejahtera atau sengsara, sihat atau sakit dan sebagainya amat bergantung kepada kedudukan hatinya. Sekiranya baik hati, maka baiklah seluruh anggota tubuh yang lain dan begitulah sebaliknya. Dalam hal ini, Rasulullah pernah bersabda bermaksud:

Sesungguhnya dalam jasad itu ada segumpal daging. Apabila dia baik, maka baiklah seluruh jasad. Tetapi, apabila dia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa dia itu ialah hati. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hati memainkan peranan penting dalam mencerminkan dan menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi serta jati diri seseorang sama ada sebagai seorang yang salih mahu pun sebagai seorang yang toleh. Malahan, hati juga dianggap agen penentu kepada hidup dan matinya jasad manusia. Tidak berfungsinya anggota tubuh badan manusia secara keseluruhannya adalah kerana terlucutnya roh yang bertapak dalam hatinya. Hatilah tempat bertapaknya iman, takwa, sifat mahmudah, niat dan dalam ketika yang lain, di sinilah juga terletaknya kekufuran, nifaq dan sifat mazmumah.

Yang paling menarik, dalam helaian al-Quran perkataan hati biasa disebut sebagai al-qalb yang membawa maksud sesuatu yang tidak tetap, berubah-ubah dan berdolak-dalik. Bertepatan dengan konotasi al-qalb, maka hati begitu mudah berubah-ubah dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain. Di dalam hati ada dua unsur kekuatan yang sentiasa berlawanan antara satu sama lain iaitu antara iman dengan kufur, kebaikan dan keburukan, taat dan ingkar, hak dan batil dan sebagainya.

Apabila ditinjau dalam al-Quran, ada banyak rangkaian ayat membicarakan mengenai hal hati terutama hati yang bersih lagi suci daripada sebarang karat dosa dan maksiat. Hati yang bersih lagi suci itu ialah hati yang diterangi dengan cahaya Ilahi dan tidak terselit sedikit pun perasaan keraguan dan kesyirikan dalam hatinya. Seterusnya, hati yang bersih menyakini bahawa segala apa yang wujud di alam semesta ini dicipta Allah yang Maha Berkuasa, sekali gus bertindak sebagai pentadbir mutlak ke atas sekalian alam ini.

Hati yang bersih juga adalah hati yang terhindar daripada sebarang penyakit hati seperti dendam kesumat, dengki, fitnah dan lain-lain lagi sifat yang tercela. Hati yang bersih adalah dipenuhi dengan iman, hidayah petunjuk dan takwa. Di dalamnya, sarat dengan gelora kerinduan, kecintaan, ketaatan dan ketundukan yang kudus kepada Allah. Justeru, hati ialah tempat bertapaknya nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan lain-lain lagi sifat mahmudah.