Showing posts with label Amal. Show all posts
Showing posts with label Amal. Show all posts

Wednesday, May 11, 2011

RIAK MEROSAKKAN AMAL..

Assalamualaikum,

وَإِذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أَجْسَامُهُمْ وَإِنْ يَقُولُوا تَسْمَعْ لِقَوْلِهِمْ كَأَنَّهُمْ خُشُبٌ مُسَنَّدَةٌ يَحْسَبُونَ كُلَّ صَيْحَةٍ عَلَيْهِمْ هُمُ الْعَدُوُّ فَاحْذَرْهُمْ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ

"Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahwa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka waspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)?"(Surah al-Munafiqun:4)

Berdasarkan ayat di atas, Allah mensifati salah satu sifat orang yang munafik. Mereka seolah-olah orang yang hebat apabila kita melihat mereka tanpa kita sedari sebenarnya mereka itu adalah orang yang munafik. Mereka sekadar berpura-pura melakukan amal soleh kerana mempunyai kepentingan peribadi berbeza mengikut individu. Namun Allah terlebih dahulu merakam perbuatan mereka dengan menurunkan surah al-Munafiqun kepada Rasulullah saw supaya nabi Muhammad dan para sahabat berjaga-jaga dengan mereka dan menjauhi sikap mereka.

و حَدَّثَنِي عَنْ مَالِك عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ إِبْرَاهِيمَ بْنِ الْحَارِثِ التَّيْمِيِّ عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ يَخْرُجُ فِيكُمْ قَوْمٌ تَحْقِرُونَ صَلَاتَكُمْ مَعَ صَلَاتِهِمْ وَصِيَامَكُمْ مَعَ صِيَامِهِمْ وَأَعْمَالَكُمْ مَعَ أَعْمَالِهِمْ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ وَلَا يُجَاوِزُ حَنَاجِرَهُمْ يَمْرُقُونَ مِنْ الدِّينِ مُرُوقَ السَّهْمِ مِنْ الرَّمِيَّةِ تَنْظُرُ فِي النَّصْلِ فَلَا تَرَى شَيْئًا وَتَنْظُرُ فِي الْقِدْحِ فَلَا تَرَى شَيْئًا وَتَنْظُرُ فِي الرِّيشِ فَلَا تَرَى شَيْئًا وَتَتَمَارَى فِي الْفُوقِ و حَدَّثَنِي عَنْ مَالِك أَنَّهُ بَلَغَهُ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ مَكَثَ عَلَى سُورَةِ الْبَقَرَةِ ثَمَانِيَ سِنِينَ يَتَعَلَّمُهَا

Telah menceritakan kepadaku dari Malik dari Yahya bin Said dari Muhammad bin Ibrahim bin Al Harits At Taimi dari Abu Salamah bin Abdurrahman dari Abu Sa'id dia berkata, "Aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Akan keluar dari kalian suatu kaum, yang solat kalian tidak ada apa-apanya dibanding solat mereka. Juga puasa kalian dibanding puasa mereka. Amalan kalian dibanding amalan mereka. Mereka membaca Qur'an, namun bacaannya tidak melampaui kerongkongan mereka. Mereka keluar dari agama ini sebagaimana anak panah yang melesat dari busurnya. Kamu melihat ke hujung anak panahnya namun kamu tidak melihatnya. Kamu melihat ke busurnya namun kamu tidak melihatnya. Kamu lihat ke pangkal anak panah dan kamu tidak dapat melihatnya. Kamu saling mendustakan dalam pangkal anak panah." Telah menceritakan kepadaku dari Malik telah sampai kepadanya, bahawa Abdullah bin 'Umar tetap mempelajari surat Al Baqarah selama lapan tahun."(Riwayat Malik:428)

Rasulullah telah memberi peringatan kepada kita akan ada kaum yang kita tidak dapat tandingi solat mereka, puasa mereka dan amalan mereka. Tetapi bacaan al Qur’an mereka hanyalah di kerongkongan mereka, tidak diterima amalan mereka. Inilah ciri-ciri orang yang riak dalam melakukan amal soleh. Mereka menunjuk-nunjuk bahawa merekalah yang paling kuat amalannya, paling ikhlas dan paling tawadduk. Sedangkan Allah Maha Mengetahui akan niat sebenar mereka yang berpura-pura ingin mendapatkan perhatian dan pujian manusia semata-mata. Inilah ciri-ciri orang yang riak.

Riak bukan hanya pada orang yang beramal soleh, tetapi ada pada semua lapisan masyarakat. Seperti orang yang berilmu, mereka menunjukkan kepandaian mereka dan mencari ilmu hanya untuk diperlihatkan kepada orang ramai betapa pandainya dia dalam mendalami ilmu. Lantaran jika terdapat orang yang berbeza pandangan dengan mereka, mereka akan cepat-cepat membalas dengan hujah yang sangat ilmiah dengan niat supaya orang akan mengagumi kehebatan mereka. Walaubagaimana pun, sukar untuk kita ketahui niat mereka. Hanya Allah sahaja yang mengetahui apa yang mereka niatkan. Kita cuma perlu baik sangka terhadap mereka kerana jika kita buruk sangka, syaitan akan menyelinap dan menghasut kita dengan hasutan yang jelek lagi jijik. Seperti sabda Rasulullah saw,

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ عَنْ مَالِكٍ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ عَنْ الْأَعْرَجِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا

Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Maslamah dari Malik dari Abu Az Zinad dari Al A'raj dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Jauhilah oleh kalian buruk sangka, sebab buruk sangka adalah sejelek-jelek perkataan. Jangan saling mencari tahu (aib orang lain) dan jangan saling memata-matai."(Riwayat Abu Daud:4271)

Begitulah, kita seeloknya diamkan sahaja dan berilah nasihat yang memadai andaikata terdapat ciri-ciri jelas orang yang riak pada kenalan kita mahupun sesiapa sahaja. Mencari-cari kesalahan itu ditegah oleh Rasulullah kerana syaitan selalu mengambil kesempatan atas peluang itu.
Namun, hendaklah kita jauhi sifat riak ini kerana riak merupakan salah satu daripada pecahan syirik. Sebagaimana sabda nabi Muhammad saw, maksudnya,

Dari Mahmud bin Lubaid dia berkata: Telah keluar Rasulullah sambil berkata, “Wahai sekalian manusia, jauhilah olehmu perbuatan syirik yang tersembunyi,”. Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah syirik yang tersembunyi itu?” Beliau menjawab, “Iaitu seseorang berdiri menjalankan solat lalu dia menghiasinya (memanjangkan) solatnya dengan bersungguh-sungguh kerana manusia melihatnya. Itulah syirik yang tersembunyi,”.(Sahih Targhib wa Tarhib 1/17)
Firman Allah,

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قَامُوا كُسَالَى يُرَاءُونَ النَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا

Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riak (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali.
Seperti dalam hadis dan ayat al-Qur’an yang disertakan, perbuatan menunjuk-nunjuk solat kita kepada orang lain adalah perbuatan riak.

Selain perbuatan amal soleh, perbuatan lain juga terdapat riak di dalamnya jika kita tidak ikhlas melakukannya demi Allah sepertimana hadis ini,
Dari Abu Musa al-Asyari dia berkata: “Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah lalu bertanya, “Seorang berperang kerana marah, seorang berperang kerana keberanian dan seorang lagi berperang kerana riak. Manakah antara mereka yang berada di jalan Allah?” Rasulullah menjawab, “Barangsiapa yang berperang agar kalimatullah menjadi tinggi maka dia berada di jalan Allah,”.(Riwayat Bukhari dan Muslim, Tirmizi:1646, Ibn Majah:2783)

Jihad pada Allah juga dikhuatiri riak jika niat kita semata-mata perkara lain dan bukan ikhlas kerana Allah. Bagi yang niat kerana selain Allah adalah amat rugi sekali amalan dan pekerjaan yang mereka lakukan. Ini kerana mereka hanyalah mendapat pujian dan sanjungan manusia sementara sahaja di dunia ini tetapi diakhirat tidak menjamin kedudukan mereka bahkan mungkin akan dicampakkan ke neraka.

Elakkanlah perasaan bangga diri dan seumpanya. Ikhlaskanlah diri untuk Allah semata-mata. Dikhuatiri tergolong di dalam hadis tersebut,

Kesombongan adalah seledangKu dan kebesaran(keagungan) adalah sarungKu. Maka barangsiapa melepaskan dariKu satu dari dua tersebut, nescaya akan aku lemparkan ke neraka Jahanam.(Riwayat Abu Daud:4090, Ibn Majah:4174)

Bagi para penuntut ilmu pula tuntutlah ilmu dengan niat kerana Allah. Bukan niat kerana untuk menambah koleksi-koleksi sijil lantas menampal dirumah, dipejabat dan tempat lain untuk menunjuk kepada orang lain bahawa dialah yang hebat. Namun, jika ingin mendapatkan sijil supaya menyenangkan proses mencari pekerjaan yang halal demi hidup di atas jalan Allah, itu adalah diharuskan. Sabda Rasulullah saw,

Barangsiapa belajar satu ilmu yang seharusnya hanya mencari redha Allah semata, tetapi dia tidak belajar melainkan untuk mendapatkan keduniaan, maka dia tak akan mendapatkan bau syurga di akhirat nanti.(Riwayat Abu Daud:3664, Ibn Majah:252, Ahmad II/338)

Selain itu, Janganlah engkau belajar satu ilmu untuk bermegah-megah di hadapan para ulama, mempermainkan orang bodoh serta untuk menguasai majlis. Maka barangsiapa berbuat demikian maka apilah (nerakalah) berhak baginya.

(Riwayat Ibn Majah:254, Ibn Hibban:90, Hakim I/86)

Wallahualam.

Tuesday, March 8, 2011

SYIRIKKAH KITA??


Kita memang sudah mengelak daripada menyembah tokong dan berhala, tetapi bagaimana pula dengan penyembahan manusia kepada 'berhala-berhala' hati? Itulah bahayanya syirik khafi yang tersembunyi di dalam hati.

Kita begitu yakin dan mengakui masih kebal iman dalam diri dan sama sekali tidak syirik terhadap Allah SWT apabila tidak pernah menyembah berhala dan apa jua dewa. Sebabnya perbuatan tersebut sudah diketahui umum boleh menyebabkan seorang Muslim menjadi murtad dan keluar dari Islam. Mudahnya, kebanyakan masyarakat Islam meletakkan perkara itu sebagai sempadan dari terjadinya hal yang merosakkan keimanan. Dan ada juga yang faham, hanya perbuatan sedemikian sahaja boleh sebabkan syirik.


Itu syirik jali yang setiap umat Islam cuba elak daripada melakukannya. Tetapi dalam berjaga-jaga itu, syirik khafi atau syirik tersembunyi sebenarnya dilakukan setiap hari oleh kebanyakan orang Islam. Kita memang sudah mengelak daripada menyembah tokong dan berhala, tetapi bagaimana pula dengan penyembahan manusia kepada 'berhala-berhala' hati? Itulah bahayanya syirik khafi yang tersembunyi di dalam hati. Ini terjadi dan dilakukan samaada kita sedari atau dilakukan didalam keadaan tidak sedar.

Menurut penerangan para Arifin Billah (pakar agama), antara sembahan-sembahan hati yang paling lumrah bagi manusia ialah:


i) penyembahan kepada nafsu/diri sendiri
ii) penyembahan kepada dunia dan perhiasannya

iii) penyembahan kepada pangkat dan kekayaan

iv) penyembahan kepada kedudukan dan jawatan
v) penyembahan kepada wanita
vi) tawakal kepada kekuatan diri atau kekuatan makhluk
vii) tawakal kepada kehebatan sains dan teknologi dan lain-lain


Segelintir umat Islam menganggap syirik khafi sebagai perkara kecil sahaja. Namun pandangan sebeginilah yang mengundang bahaya yang lebih besar. Menurut tafsiran ulama-ulama tasawuf, syirik khafi walaupun tidak membatalkan iman namun memberi kesan kepada amal dan boleh merosakkan keimanan jika dibiarkan berlaku dan menjadi pakaian umat sehari-hari.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


"Syirik yang dilakukan umat ku lebih tersembunyi daripada semut halus yang merayap di atas batu yang besar." (Riwayat Al Hakim)

Penyembahan kepada berhala-berhala hati ini juga menyebabkan manusia menjadi bongkak dan riak tanpa disedari. Terlalu yakin terhadap kelebihan diri sendiri. Perbuatan sebegini sebenarnya mengundang resah kepada Rasulullah sebagaimana sabdanya:


"Sesungguhnya yang paling aku khuatirkan atas kamu sekalian adalah syirik kecil (syirik khafi), riya'. Pada hari kiamat, ketika memberi balasan manusia atas perbuatannya, Allah berfirman, "Pergilah kalian kepada orang-orang yang kalian tujukan amalanmu kepada mereka di dunia. Lihatlah, apakah engkau dapati balasan di sisi mereka?" (Riwayat Imam Ahmad)

Benar dalam kehidupan, kita selalu memandang hal yang besar tanpa mempedulikan perkara-perkara kecil. Namun perlu diketahui yang kecil dan halus itulah lebih mudah menyerang dan merebak sehingga akhirnya kita terperangkap tanpa sedar. Sungguhpun syirik khafi tidak membatalkan iman seseorang, tetapi jika dibiarkan ia boleh mencederakan tauhid dan pengesaan terhadap Allah.

Jangan terlampau yakin bila kita tidak pernah menyembahkan tuhan lain selain Allah, kita bebas dari melakukan syirik. Ketahuilah bahawa perjuangan melawan sifat-sifat jahat dalam hati terutamanya syirik khafi adalah jihad sepanjang hidup. Jangan terhenti dari jihad ini kerana sejarah telah membuktikan manusia-manusia alim juga boleh tewas dengan rayuan iblis dan syaitan. Sehingga hati dan iman menjadi binasa.


Oleh itu berhati-hatilah dengan perbuatan, pengungkapan serta kata hati kita setiap hari. Apa jua yang terjadi dan berlaku semuanya atas kehendak dan kuasa Allah SWT jua. Bukan atas kehebatan dan keupayaan diri sendiri, benda mahupun makhluk lain yang sebenarnya tidak punya kuasa apa-apa!

Bentuk-Bentuk Syirik Khafi


Terlalu banyak syirik khafi berlaku meliputi diri kita sendiri atau yang bersangkut dengan makhluk lain. Kebanyakannya berlaku dalam keadaan kita lalai daripada mengingat Allah.

1) Bergantung Hati Kepada Sesuatu Selain Allah

Syirik khafi jenis ini sangat lumrah dalam urusan kehidupan seharian. Apabila seseorang melihat dirinya melakukan ibadah yang banyak,atau melihat dirinya mempunyai kebijaksanaan dan kehebatan sehingga berjaya memperoleh suatu kebaikan.


Atau menyandarkan sesuatu kebaikan yang diperoleh disebabkan manusia lain atau benda lain yang di jadikan oleh Allah seperti ubat-ubatan atau ketinggian sains dan teknologi dan sebagainya.


Contoh 1 : Seorang lelaki yang telah sembuh dari sakit, merasakan ubat yang dimakan itulah yang menyembuhkan penyakitnya.

Contoh 2 : Seorang Pengarah Syarikat yang berjaya membawa kejayaan kepada syarikat merasakan kejayaan tersebut dicapai hasil usahanya dan dibantu oleh pekerja-pekerja lain.

2) Ujub
Menurut pengertian yang diberi oleh Imam Al-Ghazali ;
"Ujub adalah rasa hairan dengan diri atau membanggakan diri atau merasai aman dengan adanya suatu kelebihan nikmat pada diri seseorang.

Terjadi 'ujub adalah didalam hati, tanpa terzahir sifat rasa bangga dirinya pada tingkah laku atau perkataan."


Contoh 1 :
Seorang melakukan solat larut malam lalu berkata di dalam hati, " Hairan aku dapat melakukan ibadat yang begitu banyak."

Contoh 2 :
Seseorang wanita yang cantik berasa betapa hebatnya diri dengan kecantikan tersebut.

3) Riya'

Riya' dalam beramal adalah melakukan sesuatu amal atau kebajikan dengan niat mendapat pujian makhluk atau bertujuan mendapat pangkat dan kedudukan.


Tiga keadaan berlaku Riya' pada hati seseorang yang melakukan beribadat/melakukan kebajikan.
Niat hati seseorang perlu di awasi pada 3 keadaan ketika beramal.;
1) Pada permulaan melakukan ibadat.
2) Ketika sedang melakukan ibadat.

3) Setelah selesai melakukan ibadat.

Kebanyakan orang beramal biasanya ikhlas pada permulaan ibadatnya. Tetapi gangguan riya' datang ketika sedang beramal atau sesudah beramal. Dengan demikian seseorang wajib berhati-hati dengan bisikan syaitan yang sentiasa cuba mewaswaskan hati supaya berubah niat.


4) Takabbur (Membesarkan Diri)

Takabur adalah membesarkan diri, merasai diri lebih hebat, lebih mulia, lebih tinggi dari orang lain. Sifat ini lahir dari hati dan ada kalanya terzahir dalam perkataan dan perbuatannya. Takabur adalah mencabar kekuasaan Allah :


Sabda Rasulullah SAW, Firman Allah dalam Hadis Qudsi,
"Takabur itu selendangku dan Kebesaran itu kain sarung Ku. Maka barang siapa bertengkar dengan Aku pada salah satu dari yang dua itu, nescaya Aku campakkan dia dalam neraka jahannam. Dan Aku tidak pedulikan." (Riwayat Muslim)

Punca wujudnya takabur pada diri seseorang adalah disebabkan wujudnya suatu kelebihan atau dia merasa kesempurnaan berbanding manusia lain.


1. Takabur dengan Ilmu.

2. Takabur dengan Amal
3. Takabur dengan tubuh badan – kecantikan, kekuatan dan lain-lain

4. Takabur dengan harta, anak dan kekayaan dunia.

5. Takabur dengan banyak pengikut

6. Takabur dengan kemuliaan keturunan.

7. Takabur dengan kekuasaan