Thursday, January 5, 2012

TIPS MEMILIH TEMAN TERBAIK

- sekadar gambar hiasan-

"Seseorang berada di atas agama kawannya."

Demikian pesan Nabi kita.

Kenapa ye?

Kita sangat terkesan dengan cara hidup siapa yang menjadi pendamping kita.

Kita selalu cuba untuk memenuhi kepuasannya agar diri kita diterima sebagai kawannya.

Maka,

Carilah kawan baik yang cara hidupnya selari dengan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah.

Carilah kawan baik yang kepuasan hidupnya diletakkan dengan memuaskan kehendak Allah.

Nak cari di mana?

Hmm, memang susah nak cari.

Mudahnya, kita jadilah kawan yang terbaik untuk siapa sahaja yang hadir sebagai 'kawan' dalam hidup kita.
Sayangi mereka. Tunjukkan mereka contoh terbaik. Disebabkan mereka 'istimewa'lah, Allah jumpakan kita dengan mereka. Jom, hargai kawan-kawan di sekeliling kita hari ini juga.
Bagaimana menghargai?

Oh! Anda jauh lebih kreatif daripada saya. Jika tiada kreativiti, mintalah idea daripada Allah yang Maha Kreatif, sumber inovasi kita semua. Serulah nama-nama-Nya yang kreatif, Ya Kholiq, Ya Musowwir, Ya Badi'.

Terasa kreativiti-Nya sangat dekat, kan?
Kalau kawan tu tak beragama, macam mana?
Berkawanlah dengan sesiapa sahaja. Namun untuk mengangkat seseorang sebagai 'kawan baik', perhatikanlah sungguh-sungguh agamanya.
Apa kata ulama yang kita sayangi?



- sekadar gambar hiasan-

Di dalam kitab Hidayatul Salikin, Imam Ghazali ada menyatakan: “Hendaklah kita memilih sahabat dengan 5 syarat.” Syarat-syaratnya ialah:

1. Orang yang berakal: Berkawan dengan orang yang jahil akan menimbulkan persengketaan.
2. Baik dari segi peribadi dan akhlaknya: Elakkan bersahabat dengan orang yang jahat dan buruk perangainya kerana ianya akan mempengaruhi kita.
3. Orang yang soleh: Jangan berkawan dengan orang yang fasik kerana ianya akan sentiasa mengekalkan dosa yang besar dan kecil.
4. Jangan berkawan dengan orang yang sangat kasih pada dunia: Kasih pada dunia di sini bermaksud sesuatu perkara yang bertentangan dengan suruhan Allah. Jika berkawan dengan orang yang sebegini, dia akan terikut-ikut dengan tabiat rakannya.
5. Orang yang benar perkataannya: Janganlah suka berkawan dengan orang yang suka berdusta. Orang yang suka berdusta itu tidak dapat dipercayai agama dan dunianya. Demikian itu akan membawa kepada kebinasaan dunia.

sumber:sebarkanbahagia.blogspot.com..

Thursday, November 3, 2011

La Haula Wala Quwwata Illa Billah


Rasulullah s.a.w. bersabda : “Perbanyakkanlah membaca La Haula Wala Quwwata Illa Billah kerana sesungguhnya bacaan ini adalah ubat bagi 99 penyakit, yang mana penyakit paling ringan adalah kebimbangan” (Riwayat Al-Uqaili melalui jabir r.a.)

La Haula Wala Quwwata Illa Billah bermaksud tidak ada daya dan kekuatan kecuali kekuatan Allah. La Haula Wala Quwwata Illa Billah juga boleh mengubati penyakit lupa. Syaitan juga memainkan peranan dalam membuatkan manusia lupa. Berzikirlah untuk mengingati Allah, ucaplah kalimah La Haula Wala Quwwata Illa Billah agar Allah melindungi kita daripada gangguan syaitan yang menyebabkan kita lupa.

Surah Mujadilah [19] Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah;

Semasa peristiwa Israk Mikraj, kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH.

Bahkan Allah jugalah yang memperjalankan Rasulullah s.a.w. pada malam itu. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan daripadaNYa.

Surah Isra [1] Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Semasa menjawab azan, pada perkataan hayya alas-solah (marilah mengerjakan sembahyang), maka pada kalimah ini, hendaklah kita mengatakan “la haula wala quwwata illa billah”(tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah). Orang yang mendengar azan pun tidak mampu ke masjid sekiranya tidak ada pertolongan dari Allah. Oleh itu mintalah pertolongan darinya dengan menyebut “la hau la wala quwwata illa billah..